PAROI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat bekas menteri yang semasa hayatnya sering melaungkan hidup Melayu, tetapi selepas meninggal dunia hartanya dikesan sebanyak RM4 bilion.
Dakwa beliau, seorang lagi bekas menteri juga selalu melaungkan slogan hidup Melayu, tetapi selepas meninggal dunia hartanya didapati sebanyak RM2 bilion.
“Yang Hidup Melayu! Bawa Melayu! Melayu mana? Semua kaya. Betul tak kalau saya cakap ada menteri dulu bila dia meninggal (dunia), harta dia yang dapat dikesan RM4 bilion.
“Masa hidup, Hidup Melayu!.. Kita pun Hidup Melayu!.. Yang bawah lagi, Hidup Melayu! Hidup Melayu!…muahhh..(cium tangan) kamu dapat apa? RM40 pun tak dapat.
“Ada seorang (lagi) yang meninggal (dunia) dapat berapa? RM2 bilion. Ini bukan saya fitnah. Saya nak tunggu kalau orang nak cabar saya, saya akan keluarkan rekod,” katanya di pentas ceramah jelajah ‘Kekal Harapan’ Negeri Sembilan malam tadi.
Anwar seterusnya mendakwa beliau pernah mencabar individu bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang mengaku pejuang Melayu supaya menyerahkan separuh harta kepada orang Melayu, tetapi tiada jawapan hingga sekarang.
“Berapa harta kamu? RM1 bilion, RM2 bilion, RM4 bilion? Betul nak pejuang Melayu? betul Hidup Melayu? Bagi setengah harta kamu balik kepada Melayu. Sampai sekarang seorang tak jawab lagi.
“Bila cakap sakau dia marah. Cakap kena ‘slow’ bukan kempen namanya. Nak suruh Anwar Ibrahim ‘slow’.. salah orang. Ada saya maki orang? fitnah orang? Tak. Tapi ini kalau tak terang, orang Melayu dia terbawa-bawa,” katanya. – MYNEWSHUB


