JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mendakwa beliau menghadapi cabaran besar ketika bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Menurut beliau, walaupun mempunyai darah keturunan Cina, keadaan itu tidak menjadikannya mahir bertutur dalam bahasa tersebut, tetapi diminta untuk bertanding di kawasan majoriti Cina.
“Walau bermuka Cina, ada darah Cina, tapi aku tak pandai cakap Cina. Ianya cabaran untuk aku. Tapi aku percaya bila kita kerja dengan seronok, tiada apa jadi halangan.
“Hari demi hari, uncle dan aunty jadi seperti keluarga kami. Perbezaan bahasa, agama serta bangsa tak menjadi halangan pun,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai justifikasi bahawa dirinya tidak takut untuk bertanding di mana-mana kawasan pilihan raya seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
“Bagi yang nak bina naratif konon aku takut ke kawasan Melayu, simpanlah niat tu. Sejarah menunjukan sebaliknya.
“Malahan waktu itu tiada nampak pun sinar akan menang. Tapi tetap cabar diri kerja di situ. Takkan semua perkara kita nak terjemahkan,” katanya.
Marina turut mendakwa beliau sepatutnya bertanding di DUN Layang-Layang yang merupakan kawasan majoriti Melayu pada PRN Johor 2022.
“Pada 2021sebenarnya aku buat kerja parti di layang-layang. Kawasan kampung ya, kampung yang 56 peratus melayu,” katanya.
Marina sebelum ini mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam PRN Johor akan datang dipercayai selepas Pakatan Harapan (PH) meminta beliau bertanding di DUN Tiram. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Marina Ibrahim


