SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mula mengatur gerak kerja dan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama semua kepimpinan parti komponen BN Negeri Sembilan serta pengerusi-pengerusi BN di peringkat Parlimen.
Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada susunan gerak kerja dan persediaan jentera BN Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu berada dalam keadaan siap siaga menjelang PRN.
“Tengah hari tadi berjumpa dengan semua kepimpinan parti-parti komponen BN Negeri Sembilan serta pengerusi-pengerusi BN peringkat Parlimen.
“Berbincang berkenaan susunan gerak kerja BN Negeri Sembilan untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, manakala pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.
Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari bermula sejurus selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Bin Hj Hasan


