KUALA LUMPUR – Seramai 13 Ahli Parlimen Bersatu yang berdepan tindakan lembaga disiplin parti sebelum ini mendesak Bersatu keluar daripada Perikatan Nasional (PN)
Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, mereka mendakwa Bersatu sudah tiada nilai dalam PN kerana parti itu hanya tinggal enam Ahli Parlimen.
“Bersatu sudah tiada nilai dalam PN. Dari segi bilangan Ahli Parlimen, Bersatu sekarang sudah jadi berenam.
“Jika Bersatu kekal dalam PN, maka kelemahan Bersatu dan keangkuhan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melumpuhkan PN.
“Oleh itu kami mendesak Bersatu keluar atau dikeluarkan daripada PN dan semua lantikan politik dan Exco dari Bersatu dalam negeri-negeri berkaitan dirombak,” kata kenyataan itu hari ini.
Muhyiddin sebelum ini menegaskan Bersatu pimpinan beliau akan kekal dalam PN kerana mendakwa Bersatu adalah pengasas kepada PN.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bersatu terbabit mendakwa tindakan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu berikutan sikap angkuh dan sombong Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan para pemimpin utama parti itu.
Justeru, mereka mendakwa tidak terkejut dengan perkembangan tersebut, namun melahirkan rasa kecewa dengan sikap Bersatu yang kerap melanggar semangat kebersamaan dalam PN.
“Keengganan menghormati semangat setiakawan antara parti komponen akhirnya telah memakan diri dan menghancurkan keutuhan koalisi yang telah dibina dengan susah payah.
“Kami selaku Ahli-Ahli Parlimen telah banyak kali memberi teguran secara dalaman kepada Muhyiddin mengenai hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN.
“Malangnya, setiap teguran membina yang kami suarakan langsung tidak diendahkan, malah lembaga disiplin telah disalahgunakan untuk menutup mulut kami daripada terus menyuarakan kebenaran,” dakwa mereka.
Kenyataan itu ditandatangani oleh;
1. Ahli Parlimen Beluran, YB Dato Seri Ronald Kiandee
2. Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Dato Wira Mas Ermieyati Samsudin
3. Ahli Parlimen Tanah Merah, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz
4. Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Dato Rosol Wahid
5. Ahli Parlimen Kangar, YB Zakri Hassan
6. Ahli Parlimen Lumut, YB Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara)
7. Ahli Parlimen Rompin, YB Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah
8. Ahli Parlimen Sungai Besar, YB Datuk Muslimin bin Yahaya
9. Ahli Parlimen Mersing, YB Muhammad Islahuddin Abas
10. Ahli Parlimen Sabak Bernam, YB Kalam bin Salan
11. Ahli Parlimen Ketereh, YB Dato’ Khlir bin Mohd Nor
12. Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, YB Tuan Roslan bin Hashim
13. Ahli Parlimen Kubang Pasu, YB Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail – MYNEWSHUB


