Oleh Mynewshub
PERAK – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Gunung Batu Putih hari ini memasuki hari ke-12 dengan usaha mengesan mangsa terus dipergiatkan meskipun berdepan keadaan muka bumi yang mencabar.
Pasukan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Malim Gunung Perhutanan (MGP) serta komuniti sukarela Orang Asli terus berganding bahu memperluaskan pencarian di sekitar kawasan operasi.
Anggota penyelamat dilaporkan meredah cerun curam, hutan tebal, aliran sungai berbatu serta kawasan pedalaman yang sukar diakses bagi memastikan setiap lokasi berpotensi diperiksa.
Penglibatan komuniti Orang Asli yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kawasan hutan turut membantu memperkukuhkan operasi pencarian.
Walaupun sudah memasuki hari ke-12, semangat pasukan di lapangan kekal tinggi dalam usaha membawa pulang mangsa serta memberikan jawapan kepada keluarga yang masih menanti.
Operasi itu turut memperlihatkan semangat kebersamaan apabila pelbagai pihak terus menyalurkan bantuan dan sokongan kepada pasukan penyelamat.
“Selagi ada harapan, selagi itu usaha diteruskan.”
Orang ramai turut diminta terus mendoakan keselamatan anggota bertugas serta dipermudahkan urusan pencarian mangsa.
Sumber: JBPM Perak

