Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Kos penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dianggarkan sekitar RM90 juta tidak seharusnya dilihat sebagai pembaziran semata-mata, sebaliknya mempunyai kesan limpahan ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada pelbagai sektor tempatan.

AJK Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Mohd Akmal Mohd Za’ai berkata, perbelanjaan yang terhasil sepanjang tempoh kempen dan pelaksanaan pilihan raya sebenarnya mewujudkan aktiviti ekonomi yang memberi pulangan kepada rakyat serta usahawan di negeri berkenaan.
Menurut beliau, kehadiran petugas parti, penyokong, media serta pihak berkaitan sepanjang PRN dijangka meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan termasuk penginapan, makanan, percetakan dan perniagaan tempatan.
“Jika RM90 juta dianggap satu pembaziran, mengapa tidak dilihat dari sudut kesan ekonominya?
“PRN membawa ribuan petugas, penyokong dan media ke seluruh Johor. Hotel penuh, homestay menerima tempahan, kedai makan bertambah pelanggan, stesen minyak, syarikat percetakan dan peniaga kecil turut menerima manfaat,” katanya dalam satu kenyataan di akaun media sosial miliknya hari ini.
Beliau berkata, rakyat Johor bukan sekadar penerima bantuan, tetapi turut berperanan sebagai penggerak ekonomi yang mampu memanfaatkan peluang bagi menjana pendapatan.
Menurutnya, dana yang dibelanjakan untuk proses demokrasi itu tidak hilang begitu sahaja, sebaliknya terus beredar dalam ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Demokrasi mempunyai kos, tetapi demokrasi juga mencipta peluang ekonomi. Rakyat Johor cukup matang untuk menilai antara kos pilihan raya dan nilai mandat yang diperoleh melalui pilihan rakyat,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons terhadap pandangan yang mempersoalkan kewajaran kos penganjuran PRN serta cadangan supaya dana berkenaan disalurkan terus kepada rakyat.
Perbahasan mengenai kos pilihan raya dan impaknya terhadap ekonomi dijangka terus menjadi antara naratif utama menjelang perkembangan politik semasa di Johor. — Mynewshub
**Bekas Menteri ni bodoh matematik kot.


