KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kesal dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar mengumumkan penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM)
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Ahmad Samsuri mengumumkan perkara itu walaupun mendapat bantahan keras Bersatu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN malam tadi.
Beliau mendakwa, Pengerusi PN ketika mesyuarat tersebut berlangsung malah mendesak supaya Majlis Tertinggi PN bersetuju dengan perkara itu.
“Bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti anggota apabila PAS memutuskan hubungannya dengan Bersatu.
“Dalam keadaan masalah ini belum selesai, penerimaan parti baharu yang dipimpin oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Faizal seterusnya mendakwa, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama PCM kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM)
Beliau menegaskan penggunaan nama parti yang tidak diluluskan oleh JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
“Bersatu kesal dengan tindakan Pengerusi PN yang mendesak Majlis Tertinggi PN menerima keanggotaan PCM secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan implikasi Akta Pertubuhan 1966 dan undang-undang,” dakwanya. – MYNEWSHUB


