MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari yang mendakwa rakyat Melaka kurang suka dengan limpahan rakyat Johor Utara di negeri ini.
Menurut beliau, tiada rakyat Melaka yang tidak suka dengan kehadiran rakyat Johor kerana rakyat Melaka juga selalu ke Johor, malah ada yang bekerja di daerah Muar, Johor.
“Kita kalau nak kempen silakan, tetapi jangan sampai memberi pandangan negatif dan memfitnah rakyat Melaka. Setahu saya sejak saya duduk di Sungai rambai dan Merlimau, tiada lagi rakyat Melaka yang tidak suka atas kehadiran rakyat Johor.
“Malah kami juga selalu ke Johor dan bekerja di kawasan Muar iaitu dalam negeri Johor,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Akmal seterusnya mempersoalkan sama Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan semasa menjadi Ketua Menteri Melaka tidak tahu atau buat-buat tidak tahu mengenai fakta sebenar.
Menurut beliau, hampir separuh rujukan pesakit dari klinik kesihatan di kawasan Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai akan dirujuk ke hospital di Muar.
Justeru, kata beliau, rakyat Melaka juga mendapat manfaat dari hospital Muar dan mereka tiada masalah mahupun perasaan tidak suka kepada rakyat Johor.
“Kempen janganlah sampai fitnah dan memburukkan rakyat Melaka pula. Yang kami tidak suka pemimpin yang membohong janji macam-macam, tetapi bila dah menang janji hanya tinggal janji,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


