JOHOR BAHRU – Satu rakaman video pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail memberi kata-kata semangat kepada pemain pasukan itu susulan kekalahan 1-3 kepada Buriram United FC amat menyentuh hati.
Dalam ucapan tersebut, baginda tidak menyalahkan para pemain, sebaliknya membakar semangat mereka agar terus bangkit menghadapi cabaran sepanjang musim.
Pemangku Sultan Johor malah menegaskan kepada mereka bahawa kejayaan serta trofi bukan ukuran sebenar seseorang lelaki atau pahlawan, sebaliknya kekuatan untuk bangkit setiap kali diuji dengan kegagalan.
“Kamu ingat ini sampai bila-bila. Ya, kita adalah pasukan yang sangat berjaya. Kelab yang sangat berjaya. Kita menang banyak trofi, tetapi itu tidak menjadikan kita anak jantan.
“Kamu tahu apa yang membentuk seorang anak jantan? Kamu tahu apa yang membentuk seorang pahlawan? Bukan kerana trofi yang kita ada, bukan kerana kita sentiasa menang, tetapi bagaimana kita bangkit setiap kali kita jatuh,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut mengingatkan bahawa perjalanan hidup dan karier sebagai atlet tidak sentiasa berada di puncak kejayaan, sebaliknya penuh dengan cabaran yang perlu ditempuhi dengan tabah.
“Musim ini musim yang panjang dan kamu akan melalui banyak perlawanan dan hidup pun sama ada masa di atas, ada masa di bawah. Kadangkala hidup memang begitu.
“Hidup akan menghentam kamu tepat di muka, tetapi apa yang menjadikan kamu anak jantan adalah setiap kali kamu dihentam, kamu akan bangkit semula,” titah baginda lagi.
Ucapan baginda turut menyentuh soal keluarga dan maruah diri apabila baginda mahu setiap pemain menjadi insan yang tidak pernah menyerah kalah demi dikenang oleh anak-anak serta insan tersayang pada masa hadapan.
“Kalau bukan penyokong yang mengingati nama kamu, biarlah orang yang kamu sayang mengingatinya. Suatu hari nanti kamu akan mempunyai anak lelaki atau perempuan. Pastikan mereka ingat satu perkara. Ayah saya tidak pernah mengalah. Setiap kali kita jatuh, kita bangkit semula dan itulah kehidupan.
“Dalam kelab ini itulah diri kamu, kerana itulah diri saya dan itulah yang semua orang perlu jadi. Ia bukan hanya tentang cerita indah, kejayaan, kemenangan semata-mata. Tidak, tidak, tidak. Ia tentang apabila kita berdepan kesusahan.
“Kita bangkit sekali lagi dan sekali lagi dan sekali lagi. Itulah yang menjadikan kita anak jantan. Itulah yang menjadikan kita pahlawan dan itulah bagaimana kita mahu anak-anak mengingati kita,” titah Tunku Mahkota Ismail.
Kata-kata penuh semangat dan motivasi itu ternyata memberi impak besar apabila JDT bangkit melakar kemenangan terbesar dalam sejarah liga apabila membelasah Kelantan TRW 14-1. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Video/Foto: Akaun Media Sosial HRH Crown Prince of Johor


