KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan dari Thailand, Keattisak Teankam susulan dakwaannya yang mengaitkan badan induk itu dengan isu meminta wang dan salah guna kuasa.
Presiden PTM Datuk Iruan Zulkefli berkata pihaknya memandang serius tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan pembohongan sehingga menjejaskan reputasi persatuan.
“Pertama, kita akan menghantar surat kepada Persatuan Tinju Thailand. Kedua, sekiranya dia tidak menurunkan video itu, kita mungkin akan mengambil tindakan sivil,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Keattisak yang memuat naik video dipercayai mengandungi pelbagai dakwaan terhadap PTM, baru-baru ini.
Mengulas lanjut dakwaan dibangkitkan Keattisak, Iruan menjelaskan bayaran berkenaan sebenarnya melibatkan sewa rumah serta wang pendahuluan yang diberikan pada peringkat awal perkhidmatannya.
Menurut beliau, Keattisak ketika ini masih belum melunaskan hutang berjumlah RM9,100 kepada PTM.
Malah, katanya Majlis Sukan Negara (MSN) juga tidak culas dalam pembayaran gaji jurulatih berkenaan sehingga kontraknya tamat Jun ini.
“MSN telah membayar gajinya dua hari lepas sebanyak RM17,600 bagi bulan Mei dan Jun. Jadi, sebenarnya tiada hutang dengan individu terbabit.
“Sebaliknya, dia yang masih berhutang dengan kita (PTM),” katanya. – BERNAMA

