KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sebanyak 260 ekor lembu korban kepada Parlimen Permatang Pauh menerusi Program Korban Madani sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Anwar berkata, agihan 260 ekor lembu korban Madani itu merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
“Aidiladha harus mengajar kita bahawa kekuatan umat dan negara tidak dibina atas kebencian dan perpecahan, tetapi melalui pengorbanan, kesatuan hati dan kesediaan memikul amanah demi rakyat serta tanah air tercinta.
“Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap ikhtiar dan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat dengan semangat ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras perjuangan ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menerusi hantaran di media sosial berkata, beliau mengiringi Perdana Menteri dalam majlis agihan lembu korban tersebut.
Menurutnya, negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih di atas inisiatif Perdana Menteri tersebut yang menyemarak lagi sambutan Hari Raya Aidiladha. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim/Chow Kon Yeow


