KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) , Datuk Seri Tiong King Sing melahirkan rasa teruja lebih 50,000 membanjiri Festival Muzik Air Rain Rave 2026 di Bukit Bintang di sini malam tadi.
Menurut beliau, festival sempena sambutan Hari Pekerja Sedunia itu membuka tirai dalam suasana sangat meriah yang dapat dirasai oleh semua yang hadir sejak petang.
Kata beliau, suasana festival memuncak dengan orang ramai bergerak seiring dengan alunan muzik, percikan air, sorakan dan tarian menghidupkan seluruh ruang, mewujudkan suasana yang spontan dan penuh kegembiraan.
“Kehadiran pengunjung tempatan dan pelancong dari pelbagai negara menjadikan suasana semakin padat, hidup, rancak dan bertenaga.
“Dalam keadaan itu, saya turut naik ke pentas untuk menyertai aktiviti semburan air, namun akhirnya ‘dibalas’ sehingga basah kuyup. Ia satu pengalaman yang sangat dekat dengan suasana sebenar di mana semua orang benar-benar menikmati keseronokan dalam suasana meriah.
“Inilah semangat yang ingin kita bawa melalui Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memberi peluang kepada semua berkongsi ruang yang sama dan merasai sendiri keunikan Malaysia yang berbilang kaum, terbuka dan penuh kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
King Sing berkata, paling mengagumkan walaupun kawasan dipenuhi orang ramai, keadaan tetap terkawal dan tersusun dengan semua pihak bekerjasama dan menunjukkan sikap hormat antara satu sama lain.
Kata beliau, aktiviti juga dihentikan sementara bagi laluan azan berkumandang sebelum disambung semula mencerminkan kepekaan terhadap kepelbagaian budaya dan agama di negara ini.
“Apabila semua orang dapat menikmati dan merasai pengalaman ini bersama, itu sudah cukup bermakna bagi saya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Tiong King Sing


