KUALA LUMPUR – DAP yang ditubuhkan pada tahun 1966 tidak terlibat dengan apa-apa perjuangan, rundingan mahupun pengorbanan ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 mahupun pembentukan Malaysia pada 1963.
Pengerusi Biro Perunding Pendidikan Pemuda MCA, Ong Chee Siang berkata, sejarah yang tidak boleh dipadam jasa dan peranan Barisan Nasional yang dulunya Parti Perikatan dengan UMNO dan MCA adalah pasukan utama menuntut kemerdekaan negara.
Justeru, beliau mempersoalkan cadangan seorang pemimpin DAP supaya peranan parti itu dimasukkan ke dalam silibus sejarah.
“DAP dilihat terpalit pelbagai kontroversi kaum semenjak awal penubuhannya sehinggalah sekarang. Malah, ideologi “Malaysian Malaysia” dalam Deklarasi Setapak yang diperjuangkan parti itu dikhuatiri boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk.
“Pembangunan pesat Malaysia serta peningkatan martabat negara di persada dunia selama ini juga bukan kerana DAP. Justeru, apa jasa DAP yang baru setahun jagung memerintah, yang perlu dipelajari dan dikenang oleh pelajar sekolah?,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini.
Chee Siang secara sinis melontarkan pandangan mungkin penulis buku cerita boleh mempertimbangkan untuk membukukan janji-janji palsu DAP seperti menutup kilang Lynas yang sebelum ini didakwa loji nuklear.
Begitu juga tentang nyanyian lagu ABCDGST yang akhirnya GST enam peratus digantikan dengan SST lapan peratus, cukai-cukai baharu yang diperkenalkan serta janji menghapuskan tol dan menghapuskan kamera AES yang kini semakin bertambah. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA
