KUALA LUMPUR – Platform rangkaian sosial popular era awal 2000-an, Friendster, kini kembali dengan pendekatan yang berbeza apabila hanya membenarkan pengguna berhubung dengan rakan yang dikenali dalam dunia sebenar.
Platform yang dihidupkan semula ini diterajui oleh Mike Carson, yang mempromosikan versi baharu Friendster sebagai bebas daripada iklan dan algoritma, sekali gus menawarkan pengalaman media sosial yang lebih ringkas dan autentik.
Ketika ini, aplikasi tersebut hanya tersedia untuk peranti iOS.
Menariknya, sebaik sahaja pengguna mendaftar, paparan aplikasi akan kelihatan kosong tanpa sebarang kandungan, cadangan rakan atau hantaran.
Konsep utama Friendster versi baharu ini adalah untuk menghubungkan pengguna hanya dengan individu yang benar-benar dikenali.
Malah untuk menambah rakan, kedua-dua pengguna perlu berada secara fizikal berdekatan dan menyentuhkan telefon masing-masing ketika aplikasi dibuka.
Friendster mula dilancarkan pada Mac 2002 dan dianggap antara platform rangkaian sosial terawal sebelum kemunculan MySpace.
Namun, persaingan sengit menyebabkan Friendster gagal mengekalkan populariti walaupun ia pernah mempunyai pangkalan pengguna yang besar di Asia.
Platform itu kemudian dijual dan beralih kepada laman permainan sosial pada 2011 sebelum ditutup sepenuhnya pada 2015.
Menurut Carson, beliau memperoleh domain Friendster.com selepas mendapati ia dipenuhi iklan pop-up pada 2023.
Domain tersebut akhirnya dibeli pada harga sekitar AS$20,000 dalam bentuk Bitcoin, selain pertukaran dengan satu lagi domain miliknya.
Dalam perancangan masa depan, Friendster dijangka memperkenalkan ciri “Friends of Friends” yang membolehkan pengguna berhubung secara dalam talian jika mempunyai kenalan bersama yang pernah ditemui secara fizikal.
Selain itu, ciri “Fading Connection” juga bakal diperkenalkan bagi mengingatkan pengguna sekiranya mereka tidak bertemu secara bersemuka dengan rakan dalam tempoh lebih setahun.
Carson menjelaskan, ciri itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai peringatan lembut bahawa hubungan sebenar perlu dipupuk di dunia nyata, bukan sekadar dalam talian.
Walaupun idea tersebut dilihat unik, cabaran utama Friendster adalah untuk menarik pengguna baharu.
Ini kerana aplikasi yang kosong tanpa kandungan mungkin sukar menarik minat pada peringkat awal, khususnya sebelum pengguna mula membina rangkaian rakan secara fizikal. – MYNEWSHUB
