OLEH MYNEWSHUB
KUALA NERUS – Kegembiraan empat remaja mandi-manda di kawasan Jeram Tokong di sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua lagi mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.11 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi.
Menurut beliau, seramai 12 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi pencarian di permukaan air bagi mengesan mangsa yang hilang.
Pasukan penyelamat kemudian berjaya menemukan mayat kedua-dua mangsa sekitar jam 6 petang tidak jauh dari lokasi mereka dipercayai tenggelam.
Insiden menyayat hati itu dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa sedang mandi di kawasan jeram berkenaan sebelum dua daripada mereka dihanyutkan arus deras.
Setakat ini identiti penuh mangsa masih belum didedahkan pihak berkuasa. – MYNEWSHUB
