SHAH ALAM – YouTuber Indonesia dikenali sebagai Frans Sanjaya bersama seorang wakil muzium dikenali sebagai Sadan tampil memohon maaf selepas video mereka yang mendakwa siri animasi popular Upin & Ipin berasal dari Indonesia mencetuskan kecaman ramai.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu video yang dimuat naik di YouTube selepas kenyataan mereka tular di media sosial dan mengundang kemarahan rakyat Malaysia.
Dalam video asal yang mencetuskan kontroversi itu, Sadan mendakwa karakter Upin & Ipin pada asalnya berasal dari Indonesia dengan nama “Ariffin” sebelum hak cipta kononnya dijual kepada sebuah syarikat produksi Malaysia pada tahun 2008.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut dipersoalkan ramai kerana siri animasi terbitan Les’ Copaque Production itu sebenarnya sudah mula ditayangkan pada 14 September 2007.
Malah, dalam video permohonan maaf itu, Frans dan Sadan mengakui mereka tersilap serta tidak berniat untuk menuntut Upin & Ipin sebagai milik Indonesia.
“Kami ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan Indonesia atas kekeliruan yang berlaku akibat video tersebut,” kata mereka.
Kontroversi berkenaan turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen Malaysia yang menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak masuk akal kerana fakta sejarah penerbitan Upin & Ipin mudah disemak.
Ramai juga mendakwa permohonan maaf terbuka itu dipercayai dibuat selepas menerima tekanan hebat daripada netizen selain kemungkinan menerima tindakan undang-undang atau Letter of Demand (LOD), namun tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai perkara itu setakat ini.
Sebelum ini, Les’ Copaque Production turut menegaskan bahawa Upin & Ipin merupakan karya asli Malaysia yang diterbitkan di Shah Alam sebelum menjadi fenomena di seluruh Asia Tenggara termasuk Indonesia. –MYNEWSHUB
