KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Moscow di atas jemputan khas kerajaan Russia menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan pada 9 Mei ini.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi satu hantaran memaklumkan, pesawat peribadi Seri Paduka Baginda berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada pukul 8 pagi tadi.
“Jemputan khas daripada Presiden Vladimir V Putin kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat ke sambutan itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi kerajaan Russia terhadap Malaysia,” kata hantaran tersebut hari ini.
Menurut Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berangkat sama di Hangar Diraja untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda ialah paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Turut hadir hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad. – MYNEWSHUB


