KUALA LUMPUR – Lebih 95 peratus pemimpin dan penggerak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson, Negeri Sembilan telah menurunkan tandatangan bersetuju isytihar keluar parti.
Bekas Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard mendakwa, mereka yang bertindak demikian termasuk Ahli Jawatankuasa Bahagian, sayap serta semua cawangan Bersatu Port Dickson.
“Sempena dengan itu sahaja parti Bersatu dari AJK Bahagian hingga cawangan terbubar, malah papan tanda pejabat Bahagian dan papan tanda cawangan semua diturunkan.
“Semua sedang bergerak aktif dalam Gerakan #reset dan akan bersama dalam parti yang akan dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Che’gu Bard mendakwa, pimpinan Bersatu Port Dickson membuat keputusan keluar parti kerana mendapati Bersatu sudah hilang nilai perjuangan.
Beliau mendakwa, Bersatu hanya menjadi perjuangan kelompok tertentu, manakala pemimpin tertingginya menjadi alat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, beberapa pemimpin Bersatu Port Dicksom menerima surat tunjuk sebab dari Lembaga Disiplin Bersatu, namun mereka berpendirian ia tidak perlu dijawab.
“Bagi membalas kebiadapan Lembaga Disiplin Bersatu tidak menjawab hampir dua tahun surat-surat aduan disiplin yang dibuat oleh Bahagian secara rasmi. Bersatu adalah alat regim dan penuh pemimpin penting diri,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Che GuBard


