KUALA LUMPUR _ Seorang wanita mendakwa dirinya terkunci di dalam sebuah premis kedai barangan DIY selepas lampu ditutup dan pintu dikunci tanpa sebarang pemberitahuan kepada pelanggan.
Menerusi perkongsian di media sosial, wanita tersebut memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 9.45 malam ketika dia masih berada di dalam premis berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan cawangan DIY yang mana terlibat dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, kakitangan premis bertindak menutup lampu serta mengunci pintu tanpa terlebih dahulu memastikan sama ada masih terdapat pelanggan di dalam kedai.
“Tanpa sebarang notis, terus tutup lampu dan kunci pintu. Sekurang-kurangnya periksa dulu ada pelanggan atau tidak,” katanya dalam hantaran tersebut.
Wanita itu berkata, dia terpaksa menghubungi suaminya bagi memaklumkan keadaan berkenaan sebelum suaminya datang ke lokasi untuk meminta kakitangan membuka pintu.
Namun, dia mendakwa kakitangan yang datang tidak memberikan sebarang permohonan maaf atas insiden tersebut.
Tambahnya lagi, situasi berkenaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya dia tidak membawa telefon bimbit atau berada bersama kanak-kanak.
“Bayangkan kalau saya tak bawa telefon atau dengan anak-anak, kena tunggu sampai esok baru boleh keluar,” katanya.
Difahamkan, wanita tersebut telah menghantar aduan rasmi kepada pihak pengurusan ibu pejabat (HQ) bagi tindakan lanjut.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak premis berhubung dakwaan berkenaan.-MYNEWSHUB
