BALIK PULAU, PULAU PINANG – Satu insiden tumpahan bahan kimia berbahaya melibatkan merkuri dilaporkan berlaku di sebuah makmal sains di sini, hari ini, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar dan kakitangan.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sebelum pasukan khas Hazardous Materials (HAZMAT) digerakkan ke lokasi.
Komander operasi memaklumkan bahawa setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati terdapat sisa merkuri di dua takungan sinki di Bilik Makmal Persediaan Sains yang terletak di Aras 1 bangunan berkenaan.

“Pasukan HAZMAT segera menjalankan kerja pengurusan dan pengumpulan bahan berbahaya menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Merkuri yang dikenal pasti itu kemudiannya dikumpulkan dengan teliti dan dimasukkan ke dalam bekas khas sebelum dimeterai rapi sebagai bahan buangan berbahaya mengikut prosedur ditetapkan.
Selain itu, operasi turut melibatkan proses nyahcemar (decontamination) di lokasi bagi memastikan tiada lagi sisa bahan berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan.
“Setelah pemeriksaan menyeluruh dijalankan dan lokasi disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya dan semua anggota kembali ke balai,” jelasnya lagi.
Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kesan kesihatan dilaporkan susulan insiden tersebut.
Namun, kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pengendalian bahan kimia di makmal, khususnya di institusi pendidikan.
Merkuri merupakan bahan toksik yang boleh memberi kesan serius kepada sistem saraf manusia jika terdedah dalam tempoh tertentu, terutama melalui wap yang dihidu. – MYNEWSHUB

