KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan keselamatan dan pengurusan di Selat Melaka tidak boleh dibuat secara unilateral, sebaliknya mesti melibatkan kesepakatan bersama negara-negara berkepentingan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan konsensus adalah asas utama dalam memastikan kestabilan laluan maritim tersebut yang merupakan antara paling sibuk di dunia.
Menurut beliau, Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Thailand mempunyai persefahaman kukuh dalam aspek keselamatan, termasuk pelaksanaan rondaan bersama di selat berkenaan.
“Sebarang tindakan di Selat Melaka mesti melibatkan keempat-empat negara ini. Ia tidak boleh dibuat secara bersendirian kerana kita sudah ada perjanjian bersama sebagai asas kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Forum Better Nation ke-10 yang membincangkan kesan konflik geopolitik global terhadap Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa prinsip ASEAN yang berteraskan konsensus terus menjadi tunjang dalam setiap keputusan serantau, termasuk dalam isu keselamatan maritim.
Kenyataan itu hadir ketika ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dilihat berpotensi memberi kesan kepada laluan strategik dunia, termasuk Selat Melaka yang menjadi nadi perdagangan antarabangsa.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia akan terus memperkukuh konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) serta memastikan kepusatan ASEAN kekal relevan dalam mendepani cabaran global.
Beliau turut menegaskan kepentingan dasar “berkecuali secara aktif” bagi memastikan Malaysia tidak terperangkap dalam percaturan kuasa besar dunia.
“Kita negara perdagangan dengan ekonomi terbuka. Kita berdagang dengan semua pihak. Jika dilihat cenderung kepada mana-mana blok, ia boleh menjejaskan ekonomi negara,” ujarnya.
Pendekatan itu dilihat penting dalam memastikan kestabilan ekonomi Malaysia terus terpelihara, khususnya dalam suasana global yang semakin tidak menentu.

