SEGAMAT – Tragedi menyayat hati berlaku apabila sepasang suami isteri antara tiga individu yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 210 Jalan Johor Bahru–Seremban, berhampiran persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, petang Khamis.

Kejadian sekitar jam 3.45 petang itu melibatkan sebuah van, treler dan lori kargo yang berakhir dengan rempuhan bertali arus sehingga meragut nyawa.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an bersama empat penumpang lain cuba memasuki simpang ke arah Taman Golden Hill.
“Ketika itu, sebuah treler dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri belakang van tersebut.
“Impak pelanggaran menyebabkan van hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh pula oleh sebuah lori kargo dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat perlanggaran berganda itu, pemandu van bersama dua penumpang disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Difahamkan, pasangan suami isteri turut menjadi antara mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut.
Dua lagi penumpang van mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di hospital. Bagaimanapun, pemandu treler dan lori kargo dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, pihak polis turut meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mega Rajiman di talian 07-9325811.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, dengan bantuan BBP Bandar Baru Segamat dan BBP Gemas, bergegas ke lokasi.
Operasi menyelamat dan pembersihan lokasi berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 5.35 petang.
Insiden ini sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, khususnya di kawasan persimpangan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan.


