KUALA LUMPUR – Seorang pemuda berusia 20 tahun, dikenali sebagai Ramesh (bukan nama sebenar) memilih untuk memeluk Islam selepas tertarik dengan keperibadian dan kisah kehidupan Nabi Muhammad yang disifatkannya penuh kesabaran, kasih sayang dan kejujuran.
Wakil Multiracial Reverted Muslims (MRM) Zon Selatan, Abu Mu’adz yang berkongsikan perkara itu berkata, proses pengislaman telah berlangsung dalam suasana sederhana selepas beliau dibimbing oleh sukarelawan dakwah susulan rujukan daripada kenalan, Adam Tan.
Abu Mu’ad berkata, Ramesh memaklumkan beliau meminati ajaran Islam sejak kecil apabila berkawan rapat dengan rakan muslim seawal usia enam tahun.
Minat itu semakin berkembang apabila beliau tinggal bersama keluarga rakannya sepanjang usia remaja, sekali gus memberi peluang untuk mengenali ajaran Islam dengan lebih dekat.
“Dia banyak mendengar kisah tentang Nabi Muhammad, bagaimana Baginda bersabar walaupun dihina, memaafkan walaupun disakiti dan menyebarkan kasih sayang kepada semua,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Tambahnya, daripada rasa ingin tahu, minat Ramesh terhadap Islam semakin mendalam sehingga mendorong beliau mencuba berpuasa pada bulan Ramadan serta mempelajari asas agama secara perlahan-lahan.
Ramesh yang kini bekerja sebagai kelindan lori turut memikul tanggungjawab membantu keluarganya, termasuk menyara empat orang adik yang masih bersekolah.
Sebelum lafaz syahadah, beliau ditanya sama ada keputusan tersebut dibuat secara sukarela, sejajar dengan prinsip Islam yang menolak paksaan dalam beragama.
“Ada sesiapa paksa awak masuk Islam?” soal pembimbing.
“Tak ada abang… ini pilihan saya sendiri. Ikhlas dari hati,” jawabnya ringkas.
Beliau kemudian melafazkan dua kalimah syahadah dengan lancar dan penuh yakin, disaksikan oleh Ustaz Kamal serta pelajar pengajian al-Quran.
Selepas itu, Ramesh diberikan penerangan asas mengenai Rukun Iman dan Rukun Islam, termasuk kepentingan solat sebagai tiang agama, selain panduan awal seperti cara berwuduk dan membaca surah-surah pendek. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Abu Mu’adz


