KOTA BHARU – “Buat masa ini, kita galakkan dulu rakyat mendulang. Kumpulkan hasil, bila dah banyak nanti, bolehlah jual. Kekalkan momentum dan semangat. Lupakan dulu soal hasil untuk negeri”
Demikian penjelasan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berhubung 333 lesen mendulang emas yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri.
Menurut beliau, setakat ini hanya 54 lesen yang diluluskan telah diambil oleh pemohon sejak awal Januari dah hanya rakyat Kelantan sahaja layak memohon.
“Yang belum ambil lesen, untuk makluman, lesen tuan telah diluluskan. Datanglah ambik dan bila berkelapangan turunlah mendulang.
“Mungkin boleh bantu tambahkan pendapatan. Biarlah rakyat Kelantan juga mendapat sedikit limpahan rezeki tanpa perlukan modal besar dan teknologi tinggi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Mohamed Fadzli berkata, pelaksanaan lesen mendulang emas bukan bertujuan untuk meraih keuntungan daripada rakyat.
Kata beliau, ia sebagai langkah pemantauan serta penyediaan dokumentasi rasmi sekiranya timbul sebarang risiko pada masa hadapan.
Katanya, setakat ini jumlah kutipan daripada bayaran lesen hanya sekitar RM20,700, sekali gus menunjukkan ia bukan sumber utama hasil negeri.
Kata beliau, kerajaan negeri juga tidak memberi tumpuan kepada kutipan royalti daripada aktiviti pendulangan emas oleh rakyat, sebaliknya memfokuskan hasil daripada syarikat perlombongan berskala besar.
“Biarlah kita beri peluang kepada rakyat untuk mendapat pendapatan tambahan dan bersama-sama menikmati hasil bumi negeri Kelantan,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri menetapkan hanya pembeli berlesen dibenarkan membeli emas daripada pendulang bagi mengelak penipuan serta memastikan harga ditawarkan mengikut kadar pasaran.
“Setakat ini hanya dua syarikat sahaja yang telah memohon dan diluluskan untuk membeli emas terus daripada pendulang,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kebanyakan pendulang menjalankan aktiviti tersebut secara sambilan dengan hasil yang diperoleh ada yang dijual dan ada juga disimpan untuk kegunaan masa depan.
Sehubungan itu, katanya, masih terlalu awal untuk kerajaan membuat sebarang penilaian berkaitan jumlah hasil yang diperoleh rakyat atau kutipan royalti.
“Sebab itulah belum ada lagi data jumlah hasil yang dipungut rakyat atau royalti yang kerajaan dapat. Pendulang tak dikenakan royalti pun. Pembeli memang ada dikenakan sedikit bayaran,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan


