CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu.
Menurut MCMC, maklumat palsu yang disiasat berhubung dakwaan peningkatan tarif baharu elektrik yang dibuat di platform digital iaitu Facebook, Threads dan Whatsapp.
“Maklumat palsu itu juga dipercayai menyalahguna elemen reka grafik sebuah agensi berita,” kata MCMC dalam satu kenyataan media.
MCMC berkata, berdasarkan aduan yang diterima, kandungan disebarkan oleh kesemua suspek berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu.
Kata MCMC, maklumat palsu itu boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat.
MCMC berkata, hasil semakan mendapati bahawa kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu,” kata MCMC.
Ujar MCMC, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi,” kata MCMC. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia


