KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) memohon agar pendekatan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berhemah dalam isu rumah ibadat selain Islam.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Aro Dagang berkata, permintaan itu dinyatakan dalam satu perjumpaan bagi membincangkan beberapa isu semasa termasuk berkaitan rumah ibadat selain Islam.
“Dalam pertemuan tersebut, pihak MCCBCHST menegaskan bahawa mereka mendukung tinggi kerangka undang-undang negara yang sedia ada.
“Namun, mereka memohon agar pendekatan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berhemah, konsultatif dan sensitif, khususnya sebelum sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Aaron berkata, beliau telah mencadangkan supaya satu mekanisme libat urus yang lebih tersusun diwujudkan antara pihak berkuasa dan badan-badan agama di peringkat nasional.
“Perkara ini akan saya utarakan dan bincangkan bersama YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
Kata beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara inklusif, dan mengurangkan salah faham serta menjamin keharmonian negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Aaron Aro Dagang


