JASIN – Detik yang sepatutnya menjadi peluang kedua untuk hidup bertukar tragedi apabila seorang pemandu treler maut dirempuh lori hanya beberapa minit selepas terselamat daripada kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam di Kilometer 178.8 Lebuh Raya PLUS arah selatan, mangsa lelaki berusia 58 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum treler dipandunya terbabas ke kiri jalan.
Kenderaan berat itu kemudian melanggar pembahagi jalan, menggelungsur ke lereng bukit sebelum merempuh sebatang pokok.
Namun, tragedi sebenar berlaku selepas itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, mangsa yang keluar dari kenderaan cuba melintas lebuh raya dipercayai untuk menyelamatkan diri.
“Ketika melintas jalan, mangsa telah dirempuh sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 64 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala serta badan.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tangkak untuk rawatan kecemasan.
Namun, usaha menyelamatkan nyawanya gagal apabila dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam ketika menerima rawatan.
Difahamkan, mangsa ketika kejadian sedang membawa muatan kenderaan import terpakai dari Pelabuhan Klang menuju ke Muar, Johor.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Tragedi ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa bahaya di lebuh raya tidak berakhir walaupun selepas kemalangan – setiap saat boleh menjadi penentu antara hidup dan mati.


