KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh menafikan dakwaan tular di media sosial harga diesel naik lagi sambil menegaskan maklumat tersebut adalah tidak benar.
Menurut beliau, orang ramai diminta agar tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Tular di media sosial mengenai dakwaan kenaikan harga diesel adalah tidak benar,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui saluran rasmi seperti Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi berkaitan.
Selain itu, masyarakat juga digesa untuk lebih bertanggungjawab ketika berkongsi sebarang kandungan di media sosial bagi mengelakkan penularan berita palsu.
Dalam masa sama, Kementerian Kewangan memberi jaminan akan terus menyalurkan maklumat berkaitan harga bahan api secara tepat, telus dan terkini menerusi portal rasmi serta platform media sosial kementerian tersebut. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fuziah Salleh


