KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo Da Silva terpaksa menerima beberapa jahitan pada bahagian bibir selepas terkoyak akibat ditendang pemain Al-Ahli Saudi FC malam tadi.
Laman media sosial Johor Southern Tigers berkata, Jairo yang menerima rawatan di Kompeks Perubatan Raja Abdullah, Jeddah namun telah dibenarkan keluar hospital selepas pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Jairo yang menghasilkan bantuan jaringan untuk gol JDT telah menjalani X-Ray dan imbasan CT di Kompeks Perubatan Raja Abdullah sebagai langkah penjagaan awal.
“Menerima beberapa jahitan di bibir yang terkoyak. Jairo telah dibenarkan keluar dari hospital.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan Jairo Da Silva semoga cepat sembuh,” kata Johor Southern Tigers.
Jairo terpaksa dikeluarkan dalam aksi separuh akhir AFC Champions League Elite 2025/26 di King Abdullah Sports City Hall Stadium, Jeddah selepas mengalami kecederaan teruk.
Insiden tersebut menyaksikan pemain Al Ahli, Majrashi dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan berbahaya yang menyebabkan Jairo mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan segera di atas padang sebelum dibawa keluar.
Situasi itu mencetuskan suasana resah dalam kalangan pemain dan penyokong dengan ramai menzahirkan doa serta harapan agar keadaan Jairo tidak serius dan beliau segera pulih. – MYNEWSHUB


