KUALA LUMPUR – Penyebaran berita palsu mengenai kenaikan harga minyak dan harga barang merupakan langkah khianat kepada rakyat dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang bekerja dalam keadaan luar biasa dengan cabaran yang meningkat ketika ini.
Bagaimanapun, dalam masa sama terpaksa berhadapan dengan karenah pihak yang berdusta, membenci, sabotaj dan khianat kepada negara.
“Berapa banyak berita-berita palsu tentang kenaikan harga minyak, tentang kenaikan harga barang kerana dasar-dasar yang tidak benar?
“Tujuan apa? Rakyat susah, negara tercabar dan terpaksa mengambil tindakan akibat peperangan di kawasan negara lain.
“Tetapi yang mereka teruskan ialah langkah khianat kepada negara dan kepada rakyat dengan memperhebahkan cerita palsu.
“Memperjudikan nasib rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan dan kelangsungan politik sempit,” katanya menerusi satu taklimat ringkas hari ini.
Anwar berkata, setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik di media sosial.
Menurut beliau, kerajaan tidak ada pilihan melainkan memohon pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan MCMC Untuk mengambil tindakan.
Perdana Menteri seterusnya menyeru rakyat supaya memilih, menyaring berita dan mencari fakta yang betul dan sama-sama memantau keadaan.
“Semak dengan rapi dan mengambil langkah untuk menyelamatkan keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.
“Saya mendoakan ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan usaha kita diberkati dan negara kita sentiasa mendapat perlindungan Allah,” katanya. – MYNEWSHUB


