BENTONG – Kes seorang anggota tentera yang sebelum ini didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan setugas kini bertukar menjadi kes bunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa, Amirul Raziq Rosafindi, 24, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.34 pagi, sekali gus mendorong pihak polis mengklasifikasikan semula siasatan kepada kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, siasatan sebelum ini dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, namun status kes berubah susulan perkembangan terbaharu itu.

“Kes kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa disahkan meninggal dunia hari ini.
“Polis telah memohon untuk menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dengan lebih terperinci,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek, seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun, sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Menurut Zaiham, pihak polis juga akan meneliti semula semua keterangan yang telah diambil sebelum ini, termasuk tidak menolak kemungkinan merakam percakapan tambahan daripada saksi bagi melengkapkan siasatan.
Kes ini kini menjadi perhatian susulan melibatkan anggota keselamatan sendiri, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai disiplin dalaman serta tahap pengawasan dalam institusi terbabit.
Siasatan lanjut masih dijalankan.


