KUANTAN – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah turun padang meninjau sendiri lokasi yang menjadi aduan penduduk berdasarkan satu surat terbuka yang ditujukan kepadanya mengenai isu keselamatan jalan raya di kawasan tersebut.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Ekonomi berkata, lawatan dimulakan dengan meninjau masalah air melimpah di persimpangan Kampung Lubuk Puyu sebelum bergerak ke Kampung Chedering menghala ke jalan bypass Kuantan bagi melihat keadaan sebenar.
Jelasnya, isu berkenaan bukan perkara baharu apabila kerja-kerja oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dilaksanakan kira-kira tiga tahun lalu, namun kesan daripada kerja tersebut kini didapati menghakis bahu jalan sehingga menimbulkan risiko kepada pengguna.
“Keadaan semasa menunjukkan bahu jalan semakin terjejas dan ini jelas memberi risiko kepada pengguna. Cadangan pemasangan ‘guard rail’ ada dikemukakan, namun struktur bahu jalan perlu dinilai dengan teliti supaya penyelesaian yang dibuat benar-benar selamat dan berkesan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pihak berkaitan untuk menjalankan penilaian semula secara menyeluruh serta mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan dan saya akan terus memantau perkembangan isu ini dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Mynewshub sebelum ini melaporkan penduduk Paya Besar menerusi satu surat terbuka menggesa pihak berwajib segera menangani isu kemalangan kerap berlaku di laluan susur keluar Jalan Kampung Baru Permatang Badak menghala ke jalan bypass berhampiran Pusat Khidmat Parlimen Paya Besar.
Menurut aduan tersebut, laluan berkenaan sering menyaksikan kemalangan melibatkan kenderaan terbabas dan terjunam ke dalam parit di tepi jalan dengan insiden terbaharu mengakibatkan kecederaan ringan kepada penumpang. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial
Shahar Abdullah

