KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Zamri Vinoth dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini, susulan siasatan terhadap kenyataan didakwa berbaur perkauman serta isu berkaitan satu perhimpunan pada 7 Februari lalu.
Perkembangan itu mula menjadi perhatian selepas tular satu mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa Zamri akan didakwa sekitar jam 8.30 pagi ini.
Mesej sama turut menggesa para penyokong hadir ke mahkamah, namun setakat ini butiran penuh berhubung bentuk pertuduhan yang bakal dikenakan masih belum diperincikan secara rasmi.
Zamri sebelum ini disiasat berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dengan menyasarkan komuniti India, selain kenyataan berkaitan perhimpunan membabitkan isu kuil tanpa kebenaran.
Malam tadi, peguamnya Haniff Khatri Abdulla memaklumkan bahawa kemungkinan anak guamnya akan didakwa hari ini memang wujud, namun beliau sendiri ketika itu masih belum menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan dan membawa pulang Zamri serta aktivis Tamim Dahri Abdul Razak.
Tamim pula dikehendaki polis untuk menghadapi pertuduhan berhubung dakwaan merosakkan soolam, iaitu simbol suci dalam agama Hindu.
Kes yang sedang disiasat itu difahamkan boleh membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung pertuduhan yang akan dibacakan terhadap Zamri pagi ini.
Perkembangan lanjut dijangka diketahui dalam tempoh terdekat sebaik prosiding mahkamah bermula.
Sumber info: Berita Harian


