Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mengingatkan masyarakat agar menjaga adab berjiran khususnya dalam isu bunyi bising mercun yang sering berlaku di kawasan perumahan.
Menurut beliau, dalam ajaran Islam, perbuatan mengganggu jiran adalah satu perkara yang serius, malah terdapat hadis yang menegaskan bahawa seseorang tidak akan masuk syurga jika menyakiti jirannya.
Beliau turut memberi contoh bagaimana adab menjaga ketenteraman diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW termasuk dalam satu peristiwa di Masjid Nabawi.
“Tidak masuk syurga jika menganggu jiran. Bagaimana pula dengan menganggu satu taman perumahan dengan bunyi bising letupan mercun?
“Sahabat yang membaca al-Quran di dalam Masjidil Nabawi juga ditegur oleh Nabi SAW agar merendahkan suara agar tidak menganggu orang lain di dalam masjid. Apatah lagi bermain mercun?,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Tambah beliau, masyarakat perlu lebih peka terhadap keadaan jiran tetangga yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti bayi, warga emas, individu yang sakit serta mereka yang memerlukan rehat.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman orang lain, termasuk bermain mercun secara berlebihan.
“Bertaqwalah kita kepada Allah. Jangan ganggu jiran dengan bunyi bising letupan mercun,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Firdaus Wong Wai Hung


