RAS TANURA, ARAB SAUDI — Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila beberapa dron Shahed-136 yang dikaitkan dengan Iran dilaporkan menyerang sebuah fasiliti penapisan minyak milik Saudi Aramco di Ras Tanura, Arab Saudi, awal pagi Isnin.
Menurut laporan awal, serangan tersebut menyasarkan kompleks penapisan dan terminal eksport minyak yang merupakan antara paling penting di dunia.
Sistem pertahanan udara Arab Saudi dilaporkan berjaya memintas beberapa dron, namun serpihan daripada pintasan itu mencetuskan kebakaran kecil di kawasan loji.
Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai korban jiwa.
Pihak Aramco dilaporkan segera melaksanakan langkah keselamatan termasuk menghentikan sementara beberapa operasi bagi tujuan pemeriksaan dan kawalan risiko.
Dron yang digunakan dalam serangan itu dikenal pasti sebagai Shahed-136, iaitu dron kamikaze buatan Iran yang sebelum ini digunakan secara meluas dalam konflik serantau.
Penganalisis keselamatan menyifatkan serangan ke atas Ras Tanura sebagai mesej strategik yang serius, memandangkan fasiliti tersebut merupakan nadi utama eksport minyak Arab Saudi serta antara penyumbang terbesar kepada bekalan tenaga global.
Insiden ini berlaku ketika konflik Iran–Israel–Amerika Syarikat semakin meruncing, dengan serangan dan tindak balas kini dilaporkan merebak ke beberapa negara Teluk, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan keselamatan dan ekonomi dunia.
Mynewshub akan terus memantau dan mengemas kini perkembangan terkini dari semasa ke semasa.


