Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah, Zamri Vinoth mendakwa seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes serangan terhadapnya kelmarin dibebaskan kerana kenyataan yang beliau berikan kepada pihak berkuasa.
Dakwanya, semasa proses kawad cam, beliau memaklumkan pihak berkuasa bahawa lelaki tersebut bukan salah seorang yang melakukan serangan keatasnya.
“Tak perlu nak ‘happy’ sangat, saya sendiri yang telah berikan kenyataan tadi ketika kawad cam. Statement saya itu sebab dia dibebaskan. Anggaplah itu sedekah dari saya untuk kamu yang tidak melakukan serangan.
“Dia hanya pemilik motor berkenaan sahaja dan antara yang melakukan serangan adalah abang dia, bukan dia. Islam mengajar umatnya agar berlaku adil dan tidak menipu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Zamri seterusnya mendakwa, kebanyakan suspek telah dikenal pasti, namun telah melarikan diri dan mematikan telefon bimbit masing-masing.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pekerja kilang yang direman empat hari bagi membantu siasatan kes khianat terhadap harta benda dan ugutan terhadap Zamri dibebaskan.
Peguam yang mewakili suspek, C. Hari Prassaad Rao memaklumkan perintah reman terhadap lelaki itu dipanggil semula sekali gus reman terdahulu diketepikan.
“Mahkamah telah membenarkan permohonan reman itu dipanggil semula sebelum memutuskan tempoh reman satu hari sahaja buat anak guam saya.
“Susulan keputusan itu, anak guam saya telah dibebaskan kira-kira jam 7.30 malam tadi (semalam) dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Foto Dan Info: FB Zamri Vinoth


