Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Slogan DAP ‘Malaysia Untuk Rakyat Malaysia’ mempunyai semangat yang sama seperti slogan ‘1Malaysia’
Naib Ketua II DAP Wanita Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, ia juga sama dengan slogan ‘Bangsa Malaysia’ dan ‘Keluarga Malaysia’
“Ia mempunyai semangat yang sama iaitu sebuah negara yang dimiliki dan dibina bersama oleh semua rakyatnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Jamaliah yang juga Bendahari DAP Selangor berkata, slogan ‘1Malaysia’ mempunyai konsep yang sama iaitu semua rakyat Malaysia harus diutamakan.
Katanya, slogan ‘1Malaysia’ namun gagal bukan kerana rakyat menolak mesejnya, tetapi terdapat jurang ketara antara slogan dan realiti.
“Sehingga kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ketika itu menjunam dengan skandal 1MDB,” katanya.
Menurutnya, apa yang membezakan adalah ‘Malaysia Untuk Rakyat Malaysia’ bukan slogan politik meraih undi dan tidak mempunyai agenda tersembunyi.
Katanya, slogan DAP itu prinsip impian untuk sebuah Malaysia yang dikenali dunia bukan kerana perbezaannya, tetapi kerana kekuatannya dalam kepelbagaian.
“Sebuah negara yang maju hasil sumbangan anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban, anak Kadazan dan semua yang menggelar diri mereka rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat mengubah cara berfikir daripada sekadar bertoleransi kepada benar-benar meraikan kepelbagaian.
“Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jika kita benar-benar mengenali antara satu sama lain, kita akan sedar bahawa kita sebenarnya saling memerlukan bagai aur dengan tebing.
“Dan pada akhirnya, kita bukan sekadar hidup bersama di tempat yang sama, kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Jamaliah Jamaluddin


