Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah mempersoalkan sikap segelintir agamawan yang didakwanya lambat bersuara berhubung isu penghinaan terhadap al-Quran yang tular baru-baru ini.
Menurut beliau, golongan mufti sepatutnya menjadi pihak terawal tampil memberikan pandangan dan penjelasan dalam isu melibatkan kesucian kitab suci umat Islam.
“Sepatutnya orang seperti mufti yang pertama sekali bercakap dalam isu pijak al-Quran. Sedihnya, bila isu dah basi baru nak respon, itu pun bila orang tanya,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menyentuh alasan agamawan bahawa Malaysia merupakan negara berbilang kaum yang menuntut sikap saling menghormati antara masyarakat.
Katanya, prinsip hormat-menghormati tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak bersuara apabila agama dihina.
Dalam pada itu, beliau meluahkan kekecewaan terhadap peranan agamawan yang disifatkan tidak menonjol dalam isu berkenaan dan mempersoalkan harapan masyarakat terhadap golongan tersebut.
“Apa nak diharapkan kepada agamawan? Sama macam orang lain cari makan,” dakwanya lagi. – MYNEWSHUB


