Oleh MYNEWSHUB
KUALA LUMPUR – Rumah individu dikenali sebagai Cikgu Chandra di Puchong didakwa diserang sekumpulan lelaki tidak dikenali yang memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang Pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.
Menurut perkongsian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Facebook, beliau menerima panggilan daripada Cikgu Chandra yang berada dalam keadaan cemas ketika kejadian itu berlaku.
“Brother, ada orang nak cuba bunuh saya!”, Cikgu Chandra hubungi saya dengan nafasnya tercungap-cungap,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.

Cikgu Chandra dikenali lantang menegur segelintir masyarakat Hindu di negara agar berhenti mencuri tanah orang lain untuk membina kuil haram.
Tidak dapat disahkan sama ada serangan ke atas Zamri dan Cikgu Chandra berhubung kait atau tidak.
Firdaus Wong berkata, Cikgu Chandra memaklumkan kepadanya rumahnya diserang tiga lelaki memakai topeng dan bersenjatakan parang.
Kata beliau, Cikgu Chandra turut memaklumkan, lelaki terbabit memasuki kawasan perkarangan rumah sebelum memecahkan cermin kereta serta tingkap rumah.
Kata beliau, kumpulan itu juga didakwa cuba memecah masuk ke dalam rumah Cikgu Chandra ketika kejadian.
Dalam pada itu, Firdaus Wong memaklumkan telah meminta rakannya untuk memindahkan keluarga Cikgu Chandra ke lokasi lain demi keselamatan mereka.
“Lokasi dirahsiakan. Diharapkan polis akan segera menangkap kesemua penyerang,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info Dan Foto: FB Firdaus Wong Wai Hung


