Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kenaikan harga bahan api seperti diesel serta kos logistik susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dijangka memberi kesan kepada kos operasi dan pelaksanaan projek pembinaan di negara ini.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan beberapa implikasi utama terhadap industri pembinaan sekiranya situasi tersebut berterusan.
“Peningkatan kos pengangkutan dan penghantaran bahan, risiko kerugian kepada kontraktor yang sedang melaksanakan projek dan kelewatan dalam penyiapan projek.
“Risiko tindakan senarai hitam terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual serta kemungkinan sebahagian kontraktor terpaksa menamatkan operasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, PKBM mencadangkan beberapa langkah penyelesaian bagi membantu industri pembinaan menghadapi situasi semasa.
Kata beliau, antara cadangan jangka pendek memperkenalkan segera Variation of Price (VOP) bagi bahan binaan utama dan mengkaji semula situasi semasa industri pembinaan yang terkesan akibat kenaikan kos bahan api dan bahan binaan.
“Mengawal selia harga bahan binaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan daripada situasi semasa,” katanya.
Beliau berkata, PKBM juga mencadangkan agar levi sedia ada seperti levi pekerja asing dan levi bahan import dikekalkan tanpa sebarang kenaikan serta tempoh kontrak bagi projek yang terjejas akibat kenaikan kos dan gangguan rantaian bekalan dinilai semula.
Dalam masa sama, PKBM turut mencadangkan supaya diadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan bagi membincangkan langkah rangsangan industri pembinaan seperti yang pernah dilaksanakan semasa pandemik Covid-19.
“PKBM bersedia untuk mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan pihak kerajaan dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Foto: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia
