NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi memaklumkan beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi membincangkan situasi semasa di Asia Barat.
Menurut Modi, perbualan tersebut berlangsung secara konstruktif dengan kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di rantau berkenaan yang semakin tegang.
Beliau menegaskan bahawa India menyokong penuh usaha untuk meredakan konflik serta mengembalikan keamanan secepat mungkin demi kestabilan serantau dan global.
“India menyokong de-eskalasi dan pemulihan keamanan dalam kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Dalam masa sama, Modi turut menekankan kepentingan memastikan laluan strategik dunia, Selat Hormuz, kekal terbuka, selamat dan boleh diakses oleh semua pihak.
Menurut beliau, kestabilan laluan tersebut amat penting kerana ia memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk bekalan tenaga dan perdagangan antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk terus berhubung rapat dalam usaha memastikan keamanan dan kestabilan dapat dicapai di rantau Asia Barat dalam masa terdekat. – MYNEWSHUB


