Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan terkorban ketika menjalankan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lebanon.
Mangsa dikenali sebagai Prajurit Kepala (Praka) Farizal Rhomadhon, yang merupakan sebahagian daripada pasukan United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Menurut kenyataan rasmi Kepala Pusat Penerangan (Kapuspen) Mabes TNI, Mayjen TNI Aulia Dwi Nasrullah, insiden tragis itu berlaku pada Ahad (29 Mac) apabila serangan artileri menghentam lokasi kontingen Indonesia di Adshit al-Qusyar, Lebanon Selatan.
> “Prajurit yang gugur kini disemayamkan di East Sector Headquarters dan dalam proses pengurusan pemulangan ke Indonesia dengan bantuan KBRI Beirut,” katanya seperti dipetik agensi berita Antara.
🔴 3 Anggota Cedera, Seorang Parah
Dalam kejadian sama, tiga lagi anggota TNI turut cedera:
Praka Rico Pramudia — luka parah
Praka Bayu Prakoso — luka ringan
Praka Arif Kurniawan — luka ringan
Menurut Aulia, dua anggota yang mengalami kecederaan ringan kini dirawat di Hospital Level I UNIFIL, manakala seorang lagi yang parah telah dipindahkan menggunakan helikopter ke Hospital St. George di Beirut untuk rawatan lanjut.
🔴 Sertai Misi Keamanan PBB
Difahamkan, Allahyarham Praka Farizal merupakan anggota daripada Kompi C UNP 7-1 Satgas Yonmek XXIII-S/UNIFIL, yang terlibat dalam misi pengaman di kawasan bergolak di selatan Lebanon.
Insiden ini sekali lagi menyorot risiko tinggi yang dihadapi pasukan pengaman antarabangsa, walaupun berada di bawah mandat keamanan PBB.
🔴 Operasi Pemulangan Jenazah Sedang Diurus
Pihak TNI bersama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Beirut kini sedang menguruskan segala dokumentasi dan logistik bagi membawa pulang jenazah ke tanah air.
Perkembangan lanjut mengenai insiden ini dijangka akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
— Mynewshub



