Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu menerima pelbagai kad ucapan Aidilfitri daripada ramai golongan kanak-kanak.
Menurut beliau, kad-kad yang diterima bukan sahaja berwarna-warni, malah ada dihiasi lukisan unik dan elemen kreatif seperti lampu, sekali gus menyerlahkan bakat luar biasa golongan muda.
Katanya, setiap kiriman tersebut membawa makna yang cukup besar walaupun kelihatan kecil dari segi fizikal, kerana ia melambangkan ingatan tulus dan kasih sayang yang ikhlas.
“Alhamdulillah, terharu betul saya bila terima pelbagai kad ucapan Aidilfitri yang penuh warna-warni hasil kreativiti anak-anak, ada yang lukis, ada yang siap berlampu memang kreatif habis,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan kepada semua yang mengirimkan ucapan, sambil menyifatkan sokongan dan ingatan tersebut amat dihargai.
Dalam masa sama, Anwar mengambil kesempatan mengucapkan salam Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan harapan sambutan lebaran tahun ini membawa kegembiraan dan keberkatan kepada semua.
“Setiap kad yang saya terima bukan sekadar ucapan, tetapi tanda ingatan yang tulus dan penuh kasih sayang. Kecil pada rupa, namun besar maknanya buat saya,” katanya. – MYNEWSHUB


