Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Januari lalu.
Tertuduh, R Sivanesan, 39, didapati melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 29 tahun yang mempunyai kecacatan pendengaran, pertuturan serta lembam pembelajaran di sebuah rumah di Taman Jaya Mas, Skudai.
Mahkamah menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun serta sebatan.
Dalam rayuan, tertuduh yang menghidap HIV dan leukemia memohon hukuman diringankan, namun pihak pendakwaan menegaskan perbuatan itu serius kerana mangsa merupakan golongan rentan.
Peguam tertuduh, Omar Kutty Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa tertuduh memohon maaf dan insaf atas perbuatannya itu serta rajin membuat kerja amal di kuil.
“Tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM2,200 sebulan. Dia menghidap penyakit HIV dan leukemia atau kanser darah.
“Masalah kesihatan dihidapi menyebabkan tertuduh perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tertuduh banyak membuat kerja amal di kuil dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya di mahkamah semalam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin.
Selain hukuman penjara dan sebatan, Hakim Madihah Zainol turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman.
Kes ini mencetuskan kebimbangan awam terhadap keselamatan golongan OKU daripada jenayah seksual.
