KUALA LUMPUR – Pemandu kereta jenis Honda City yang merempuh seorang penunggang motosikal hingga menyebabkan kematian pagi tadi dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian di Jalan Raya Barat, Klang pukul 11.40 pagi itu melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.
“Siasatan awal mendapati Honda City dipandu lelaki berumur 20-an dari arah Jalan Raya barat menghala ke bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
“Setibanya di lokasi, pemandu tersebut dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran tersebut mangsa seorang lelaki berusia 30-an tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Jit Huey berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan hasil ujian saringan mendapati pemandu kenderaan berkenaan positif alkohol serta dadah.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara mininum 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
“Lesen memandu juga boleh digantung serta merta,” katanya.
Tambah beliau, kes turut disiasat di Bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda minimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan antara dua hingga tiga tahun. – MYNEWSHUB


