Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Tular di media sosial satu rakaman video memaparkan sepasang lelaki dan wanita dipercayai separuh usia melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan Cina.
Dalam video berdurasi kira-kira 38 saat itu, perbuatan pasangan terbabit disedari oleh seorang wanita yang kemudian bertindak merakam serta menegur tindakan mereka.
Kedengaran wanita berkenaan memarahi pasangan itu sambil berkata, “Saya jumpa kamu berdua di sini lagi! Mereka telah berbogel di tanah perkuburan ini beberapa kali sebelum ini.”
Dia turut menegaskan bahawa lokasi tersebut merupakan tempat orang datang untuk bersembahyang dan tidak sepatutnya dikotorkan dengan perbuatan sedemikian.
“Ini tempat orang sembahyang, kamu buat kotor di sini. Saya mahu laporkan kepada polis,” katanya dalam rakaman tersebut.
Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan dilihat tidak berpakaian langsung, manakala wanita itu hanya memakai baju tanpa seluar.
Lelaki tersebut bagaimanapun sempat didengari memohon maaf kepada wanita yang merakam kejadian berkenaan.
Lokasi sebenar serta waktu kejadian tidak dapat dipastikan, namun video tersebut mengundang kecaman orang ramai yang menyifatkan perbuatan itu sangat tidak bermoral apatah dilakukan di tanah perkuburan. – MYNEWSHUB
Sumber: NST



