KUALA LUMPUR – Parti MIC tidak berada dalam kedudukan selamat jika mengambil keputusan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN)
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa, keadaan tidak selamat itu telah pun dialami parti Bersatu.
Justeru, katanya, kepimpinan MIC perlu konsisten dan ikut keputusan majoriti ahli parti demi kebangkitan MIC dan kesatuan BN.
“Jika tidak MIC akan berpecah dan tinggal sejarah. Apatah lagi jika MIC sertai PN yang berpecah. MIC tidak selamat.
“Lihat sahaja cara PAS membuli Bersatu seperti muslihat mereka kekalkan Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) yang tidak berparti sebagai Ketua Pembangkang,” dakwanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Mohd. Puad mendakwa, menurut sumber dalaman, 95 peratus anggota CWC MIC yang bermesyuarat semalam memutuskan MIC kekal dalam Barisan Nasional (BN)
Kata beliau, ia adalah keputusan yang tepat dan amat dialu alukan kerana ia selari dengan kehendak majoriti ahli MIC di akar umbi.
“Lagi pun MIC turut menyertai ‘retreat’ BN yang diadakan bulan Febuari lepas. Itu petanda awal MIC akan kekal dalam BN,” dakwanya. – MYNEWSHUB


