Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru agar tidak bertindak secara beremosi, tidak menyebarkan spekulasi serta sentiasa berhemah dalam memberikan reaksi terhadap isu-isu sensitif di media sosial.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sebarang perbezaan pandangan yang tercetus harus ditangani melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang.
Beliau menekankan bahawa Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan kefahaman antara agama serta budaya yang mesti dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat.
“Nilai-nilai ini mesti terus dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat. Kementerian Perpaduan Negara akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan.
“Begitu juga pemimpin masyarakat serta pertubuhan antara agama bagi memastikan keharmonian, keamanan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Aaron berkata, pihaknya memandang serius tiga insiden yang berlaku baru-baru ini kerana berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.
Kata beliau, antara insiden tersebut adalah pembakaran tiga buah kenderaan milik seorang aktivis masyarakat dan video tular lelaki memijak dan merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul.
Menurut beliau, insiden lain adalah serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.
Tegas beliau, sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau tidak boleh diterima dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa keharmonian negara tidak boleh digadai oleh tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
‘Tindakan terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara mesti dilaksanakan tanpa kompromi,’ kata beliau. – MYNEWSHUB
