JERAM, 23 Mac – Seorang lelaki maut dalam keadaan tragis selepas tersepit di dalam sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan di Persimpangan Jalan Suara, Kampung Tambak Jawa, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.18 pagi itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan, pasukan tiba pada jam 7.32 pagi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama empat anggota selepas menempuh perjalanan sejauh 13 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Nurul Azman Muhammadan berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati seorang lelaki tersepit di bahagian lori dalam keadaan parah.
“Pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa, seorang lelaki Melayu berusia 39 tahun, telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Taqiuddin Jamil.
Pasukan bomba kemudian bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum operasi berjaya diselesaikan.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak BBP Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Kejadian itu turut menarik perhatian orang awam di kawasan sekitar, manakala pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sumber: BBP Kapar


