Oleh Mynewshub
SHAH ALAM – Sebuah kereta mewah jenis Lamborghini disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati melakukan beberapa kesalahan jalan raya dalam satu operasi khas dikenali sebagai Ops Luxury di Persiaran Ampuan Rahimah di sini, semalam.
Menurut kenyataan JPJ Negeri Selangor, tindakan penguatkuasaan itu dijalankan pada 11 Mac selepas pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah selain menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Susulan kesalahan tersebut, pihak JPJ telah menyita kenderaan berkenaan dan membawanya ke depot JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
JPJ Selangor dalam kenyataan sama menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan semua kenderaan di jalan raya mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan.
“JPJ Negeri Selangor akan terus memberi perhatian terhadap sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya tanpa mengira jenis kenderaan, termasuk kenderaan mewah,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkan aduan melalui emel [email protected] atau melalui platform aplikasi e-aduan JPJ dengan menyertakan butiran pengadu serta maklumat lengkap mengenai kesalahan yang dilaporkan.
Operasi seperti ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan JPJ bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi peraturan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di negara ini. –MYNEWSHUB

